Translate

WebSta

Selasa, 27 Februari 2018

TOKYO MARATHON 2018 : KEDUA-DUA PELARI MALAYSIA MEMPERBAHARUI REKOD KEBANGSAAN TETAPI TIDAK DIIKTIRAF

Sehingga ke hari ini tiada siaran media dari pihak Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) berkenaan kejayaan kedua-dua pelari marathon negara iaitu Tan Huong Leong dan Muhaizar Mohamad yang berjaya memecahkan rekod kebangsaan di Tokyo Marathon hari Ahad yang lalu, 25 Februari 2018. Masing-masing dengan catatan masa tidak rasmi 2:25:32 dan 2:27:25. Dari maklumat yang penulis perolehi, pihak KOM telah menetapkan syarat ujian doping sebagai syarat wajib sebelum mengiktiraf rekod tersebut.

Apa yang mengecewakan ialah kedua-dua atlet tersebut tidak menjalani ujian doping sebaik sahaja menamatkan acara berkenaan dan sekaligus menyaksikan rekod kebangsaan kekal milik Woo Chan Yew yang mencatatkan 2:28:36 di Montreal, Kanada pada 5 September 2010.

Bagi Tan Huong Leong, ini merupakan kejadian kali kedua catatan masa beliau tidak dapat diiktiraf sebagai rekod baru kebangsaan. Semasa Tokyo Marathon 2017, beliau mencatatkan 2:28:19. Beliau cuba untuk menjalani ujian doping sebaik sahaja menamatkan larian pada hari Ahad yang lalu tetapi tidak dibenarkan oleh pengarah larian ( Race Director ) Tokyo Marathon dengan alasan bukan atlet jemputan. Perkara ini dikongsikan melalui akaun Facebook beliau.

 Luahan kecewa Tan Huong Leong

Untuk maklumat, Tan Huong Leong menetap dan berkerja di Taiwan. Berkemungkinan pihak KOM tiada maklumat atau terlepas pandang tetapi dua kali berturut-turut adalah sesuatu yang sangat mengecewakan.

Berbeza pula dengan kes Muhaizar Mohamad, Tokyo Marathon merupakan acara marathon yang pertama bagi beliau di luar negara. Beliau yang berpangkat Sarjan dalam Tentera Darat Malaysia merupakan atlet yang diuruskan Dirigo Events, syarikat yang memiliki dan menganjurkan Standard Chartered Kuala Lumpur Marathon (SCKLM). Juara tiga kali berturut-turut SCKLM dan merupakan atlet yang kedua menyumbang pingat dalam acara marathon SEA Games selepas 44 tahun, SEA Games Kuala Lumpur 2017. Kali terakhir ialah pada SEA Games 1973, Singapura melalui M. Solaimuthu dengan catatan masa 2:49:30.


Aksi Tan Huong Leong & Muhaizar semasa SEA Games KL 2017

Jika sekiranya pihak KOM memberi alasan tiada maklumat juga, adalah tidak berasas sama sekali kerana beliau menetap di Kuala Lumpur dan pihak penaja Muhaizar iaitu Asics ada berjumpa dengan presiden KOM sendiri untuk membentangkan kertas kerja mengenai perancangan memecahkan rekod kebangsaan ini. Sebagai badan tertinggi dalam negara yang menguruskan dan mengiktiraf rekod olahraga kejadian ini menampakkan ianya diuruskan oleh pihak yang tidak professional dan bersikap ambil mudah. Usaha memecahkan rekod ini bukannya dirancang dalam masa seminggu, ianya mengambil masa berbulan-bulan latihan termasuk latihan aras tinggi di Cameron Highlands dan perancangan ‘pace’ serta ‘splits time’. Suka juga untuk dikongsi, segala usaha ini adalah 100% dari peruntukan kewangan Asics tanpa satu sen pun bantuan KOM.

Suka juga penulis berkongsi cerita berkenaan rekod kebangsaan Half Marathon yang dicatatkan Muniandy Arul Thevar di Ipoh International Run iaitu 1:07:59 pada 4 Julai 2004, tentunya tiada ujian doping kerana setahu penulis satu-satunya acara larian lebuhraya di Malaysia yang membuat ujian doping hanyalah SCKLM, perkara ini disahkan oleh penganjur SCKLM sendiri. Setahu penulis juga, route Ipoh International Run 2004 tidak diukur dan diiktiraf oleh pihak Association of International Marathons and Distance Races (AIMS) dan tentunya rekod ini boleh dipertikaikan.

Kalau diperhatikan, pendekatan KOM dalam menangani isu ini 100% berbeza dengan kejadian kemalangan yang melibatkan 3 pelari yang dilanggar kereta semasa Klang City International Marathon pada 10 Disember 2017. Penulis masih ingat lagi pada petang 13 Disember 2017, pihak KOAM telah mengadakan mesyuarat dan sidang media khas. Tidak lain dan tidak bukan kerana ianya melibatkan ‘sanction fee’ yang bakal menggemukkan kantung KOM!

Semasa menulis artikel ini penulis agak terkejut apabila mendapati dalam buku ‘Athletics Souvenir Programme’ SEA Games Kuala Lumpur 2017 yang diedarkan kepada semua delegasi ada mencatatkan nama Tan Huong Leong sebagai pemegang rekod marathon kebangsaan! Sekali lagi menampakkan tahap pengurusan rekod kebangsaan KOM yang sangat lemah.



Athletics Souvenir Programme

 Kata Aluan Presiden KOM

Rekod marathon kebangsaan Tan Huong Leong

Tiada ulasan: